08 November 2008

Pimpinan PAS Bermesyuarat di Langkawi.

LANGKAWI, 8 NOV :-Pemimpin tertinggi PAS bermukim di sini bermula kelmarin bagi membincangkan hala tuju parti . Pertemuan tiga hari itu diadakan di sebuah resort di Pantai Chenang melibat anggota Majlis Syura Ulama dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin ketika dihubungi menjelaskan permukiman ini bertujuan menyelesaikan perbezaan pendapat berhubung isu-isu yang berkaitan parti itu dan Pakatan Rakyat.

Wakil rakyat Sanglang, yang juga ahli Majlis Syura Ulama, berkata pertemuan itu juga dijangka membincangkan hal-hal berkaitan pertukaran kerajaan persekutuan seperti sedang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ataupun sekurang-kurangnya kita mendapat maklumat mutakhir daripada pihak atasan (pimpinan tertinggi)," kata Hashim.

Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang menjelaskan permukiman itu akan bermula hari ini, manakala pertemuan yang bermula 8 malam tadi hanyalah mesyuarat bulanan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Katanya, permukiman tersebut turut membahaskan ucapan presiden ke arah menyatukan pandangan-pandangan barisan pemimpin PAS.

"Ucapan presiden adalah untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Atas asas itu kita akan susun pelan bertindak dan memainkan peranan asas itu (memperkukuh Pakatan)," katanya.

Ahmad menambah, PAS juga akan merangka strategi supaya segala dasar-dasarnya difahami di segenap peringkat anggota parti dan tidak menimbulkan perselisihan lagi.

Katanya, dasar PAS diterima oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat, misalnya kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ingin menegakkan 'amar makruf nahi munkar' dalam pentadbiran kerajaan negerinya.

"Nampaknya banyak pendekatan kita boleh diselaraskan dan Pakatan akan bertambah kuat," tambahnya.

Mahkamah perintah Petra dibebaskan

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.
malaysiakini.